Sejarah Pentaksiran Tingkatan Tiga

Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah diperkenalkan untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. Namun begitu, ramai guru-guru yang terlibat berasa tidak puas hati terhadap sistem yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelbagai aduan berhubung SPPBS telah disuarakan oleh para guru sejak ia mula dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada di antara warga pendidik yang menggunakan kemahiran audiovisual memuat turun klip video berhubung SPPBS di laman Youtube. Antara rungutan yang kerap dikemukakan adalah jalur lebar laman KPM yang terhad mengakibatkan sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk diakses ratusan ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama. [2]

Selain itu juga, sebelum Pentaksiran Tingkatan 3 disahkan sebagai pengganti PMR, terdapat beberapa peperiksaan yang dicadangkan oleh kerajaan, seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) dan Penilaian Pentaksiran Menengah Rendah (PPMR). [3] Hal ini telah menyebabkan ramai dari kalangan murid, ibu bapa beserta guru berasa keliru terhadap cara penilaian akhir yang akan dilaksanakan.

Sehubungan dengan insiden yang berlaku, kerajaan mengakui bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah mempunyai pelbagai kelemahan. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.[4]

Dalam bulan Februari 2014, kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem PBS sehingga ke tarikh yang diberitahu. Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru.[5]

Akhirnya, pada bulan April, kerajaan mengumumkan pelaksanaan sistem PBS yang baharu dengan penilaian akhir menengah rendah yang bernama Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan I, Sistem PBS baru yang akan dilaksana bermula 1 April ini akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus.[6] Selepas beberapa minggu kemudian, Ujian PT3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mula mendapat respons positif orang ramai sejak dilaksanakan pada 1 Julai lepas. Menurut Datuk Mary Yap Kain Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan I, walaupun pada peringkat awal ia membebankan guru dan pelajar, namun setelah dilaksanakan, mereka mendapati ujian berkenaan begitu menyeronokkan dan memberi banyak faedah di mana pelajar lebih cenderung menggunakan internet untuk mencari bahan berbanding hanya menggunakan buku teks sebagai rujukan seperti sebelum ini.[7]

Berdasarkan PT3, pelajar Tingkatan 3 akan dinilai berdasarkan 4 jenis penilaian merangkumi keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik berkaitan minat dan kecenderungan seseorang.[8]

Rujukan

WikiPedia: Pentaksiran Tingkatan Tiga http://news.abnxcess.com/bm/2014/12/beri-peluang-l... http://www.astroawani.com/news/show/keputusan-pt3-... http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsperspe... http://www.cikguhailmi.com/2013/12/ppmr-ganti-pmr-... http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2... http://www.malaysiakini.com/news/257444 http://didikmalaysia.com.my/bm/?page_id=527 http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&d... http://www.sinarharian.com.my/nasional/guru-tak-pe... http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-ak...